DeHearty : Permata Yang di Cari
Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi
Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini
Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu
Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu
Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu
Lagu : Fahmi (o.p. DeHearty Publishing / s.p. NAR Publishing)
Lirik : Nurul Uyun Abdul Aziz (o.p. DeHearty Publishing / s.p. NAR Publishing)
Lagu yang menarik dan indah. Lirik yang sangat puitis. Islam meletakkan beberapa garis panduan dalam pemilihan jodoh iaitu kerana hartanya,kecantikkannya,keturunan dan agamanya. Namun begitu, pilihlah seseorang kerana agamanya kerana pasti bahagia dan tenteram hidup kita.
Agama merupakan perkara terpenting yang perlu ada dalam sesebuah perkahwinan itu kerana tanpa agama akan pincang dan porak peranda rumahtangga tersebut. Dalam hidup berumahtangga kita perlulah sentiasa mempelajari ilmu dan ilmu itu tidak semestinya anda haruslah memiliki ijazah sarjana muda,ijazah sarjana ataupun P.H.D. Belum tentu mereka yang memiliki ijazah mampu membina sebuah rumahtangga yang bahagia. Ilmu itu boleh diperolehi melalui pembacaan ataupun pengalaman hidup. Oleh yang demikian, lelaki ataupun wanita perlulah sentiasa mempelajari ilmu rumahtangga kerana banyak cabaran dalam kehidupan berumahtangga. Hanya ilmu dan agama yang mampu menjadi benteng dalam kehidupan kita.
Namun begitu, seringkali saya mendengar bahawa golongan lelaki sukar untuk melihat atau mendengar perkara-perkara yang positif yang dipaparkan dalam televisyen. Contohnya, mereka lebih suka melihat pertandingan bola dari melihat rancangan-rancangan yang berbentuk ilmiah seperti rancangan semanis kurma, imam muda, tanyalah ustaz, ataupun forum perdana. Mengapakah fenomena ini berlaku? Sebagai pemimpin keluarga mereka seharusnya mengajar serta mengajak isteri agar melihat serta mendengar rancangan-rancangan sedemikian rupa. Anak-anak dan isteri merupakan amanah Allah yang perlu dijaga sebaik mungkin.
Untuk memastikan sesebuah rumahtangga itu bahagia lelaki dan wanita perlulah memiliki ilmu kekeluargaan. Kaum lelaki pula usahlah menggunakan kuasa veto mereka dengan mengatakan bahawa " saya suami awak, maka awak kenalah ikut semua cakap saya". Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa isteri perlu mengikut cakap suami, namun tiada salahnya sesekali anda mendengar cakap isteri. Ramai wanita di luar sana merungut kerana sikap suami yang suka menggunakan kuasa vetonya sesuka hati. Mereka merasakan mereka lelaki, maka mereka golongan yang hebat. Jika hati mereka disakiti, mereka akan berkata bahawa isteri tidak pandai menjaga hati suami. Namun, apabila mereka berkata-kata adakah mereka memikirkan perasaan orang lain? Sama-sama kita renungkan. Pada pendapat saya, tidak perlu mencari siapa yang salah dan siapa yang betul, tetapi perlulah menggunakan pendekatan "win win". Jadilah lelaki yang boleh dihormati oleh isteri dan bukannya hanya tahu berkata-kata.
Sekian,wassalam. Tulisan ini tiada kena mengena dengan sesiapun. Jadi, jika ada yang tersinggung harap maaf k...