Rabu, 27 April 2011

Ayah Dan Ibu by Allahyarham Sudirman Hj Arshad




Assalamualaikum dan selamat pagi......

Seorang ibu dan bapa mampu untuk menjaga serta memelihara 12 orang anak.Namun begitu, 12 anaknya belum pasti mampu menjaga seorang ibu dan seorang bapa. Apakah sebenarnya yang ibu dan bapa kita inginkan? Pada pendapat saya apa yang mereka inginkan adalah perhatian serta kasih sayang anak-anaknya. Walaupun setiap bulan kita menghulurkan wang kepada ibu dan bapa kita, namun kita masih tidak dapat membalas jasa mereka yang membesarkan kita. Merekalah yang bekerja keras untuk memastikan anak-anak mereka berjaya. Namun begitu, apabila sudah dewasa mereka mula mengabaikan ibu bapa mereka. Mereka lupa tanpa ibu dan bapa, mereka tidak akan berjaya. Jadi, apakah yang patut kita lakukan? Pertama, seringkali menghubungi mereka untuk bertanya khabar mengenai diri mereka, seringkali pulang ke kampung untuk melihat mereka, dan yang paling penting sekali pulanglah ke kampung ketika hari raya. Hargai dan sayangilah mereka sementara mereka masih hidup kerana kelak apabila mereka sudah tiada pasti kita akan menyesal.

Jauh di sudut hati saya, hati saya amat terusik apabila teringat apa yang bapa saya ucapkan kepada saya baru-baru ini. Seringkali beliau mengungkapkan perkataan tersebut. Ya, saya akui jika perkara tersebut terjadi, maka seumur hidup saya tidak dapat memaafkan diri saya dan sudah pasti saya akan menyesal. Setiap hari apabila teringat apa yang dikatakan, hati terusik dan berharap perkara tersebut tidak akan terjadi dalam hidup saya. Antara kawan-kawannya, dia yang masih hidup, hampir semua kawan-kawannya sudah kembali ke rahmatullah. Seringkali beliau berkata kepada saya "masa ni ayah sihat lagi,ayah masih kuat, tapi kalau tiba-tiba ayah sakit macam mana, along duduk jauh dari ayah,ayah tak kisah, tapi ayah takut along yang menyesal". Ya Allah, itulah yang yang seringkali saya fikirkan. Jika terjadi apa-apa kepada beliau dan saya tidak sempat berjumpa sebelum beliau menutup mata , maka saya tidak dapat memaafkan diri saya. Jasa dan pengorbanan beliau masih belum mampu saya balas. Kasih sayang beliau kepada saya tulus. Saya pasti,saya tidak akan mampu membalas jasa beliau yang membesarkan saya,menyekolahkan saya, memberi makan,minum,pakai serta kasih sayang.

Oleh itu, hargailah ibu bapa kita ketika beliau masih hidup, seringkali menghubungi mereka untuk bertanya khabar..